Ahad, 25 Disember 2011

Menulis Blog untuk Amalan Semasa di Alam Kubur


Siapa tahu, menulis blog juga merupakan satu cabang untuk berdakwah? Teknologi yang telah dikurniakan oleh Allah SWT ini harus digunakan sewajarnya, agar dapat memberi impak positif kepada umat manusia.

Fenomena blogging telah lama melanda masyarakat dunia. Tidak terkecuali masyarakat Malaysia. Jutaan blog dihasilkan, dan para blogger masing-masing bersaing agar blog mereka mendapat tempat di hati para pembaca.

Namun, sedarkah kita, dengan menulis blog juga, insya Allah akan membawa kebaikan kepada kita semasa kita berada di alam barzakh. Kenapa? Tak percaya? Mari kita rungkai perkara ini berdasarkan sebuah hadis yang masyhur.

Hadis yang masyhur yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ، صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يَنْتَفِعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُوْ لَهُ

Apabila seorang anak Adam meninggal maka terputuslah amalnya kecuali karena tiga hal sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya.

[HR Muslim]

Hal yang kedua, Rasulullah SAW telah menyatakan 'ilmu yang bermanfaat'. Ini adalah suatu perkhabaran gembira bagi penyampai-penyampai ilmu, asalkan mereka tidak menyampaikan ilmu yang menyimpang. Perkhabaran gembira ini haruslah digarap sebaik-baiknya oleh kita, khususnya para penulis blog.


Tulislah perkara yang baik-baik, insya Allah orang lain akan dapat manfaatnya. Butang 'share' memudahkan lagi ilmu di blog kita untuk dikongsi. Maka, ramailah umat yang dahagakan ilmu akan mendapat manfaat hasil daripada penulisan kita.

Dari sini, pahala yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW tidak akan putus, selagi mana ilmu itu terus disampaikan dan diamalkan. Tambahan pula, blog kita terus berkekalan di alam maya dan boleh dibaca 24 jam.

Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama menyambut baik perkhabaran gembira daripada kekasih Allah ini dengan menulis perkara-perkara yang bermanfaat untuk umat manusia. Lebih baik menulis kerana Allah, daripada menulis tentang gossip, fitnah, dan politik kotor.

Amatlah rugi sekiranya kita tidak menyambut perkhabaran gembira ini. Gunakanlah sebaik-baiknya teknologi yang telah dikurniakan oleh Allah SWT ini. Meskipun ia dibangunkan oleh kaum kafir, ia tidak salah untuk dijadikan uslub dakwah, kerana ia tidak ada kaitan dengan aqidah.

Wallahu a'lam
*****

تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)
[al-Mulk (67):1-2]


hukum pakai pakaian santa claus bagi yang beragama islam =)


Krismas menjelang lagi. Selain daripa bunyi mercun yang berdentum-dentam, ada lagi perkara yang kita perlu fokuskan, yakni umat Islam 'meraikan' syiar agama Kristian dengan pelbagai cara. Antaranya adalah ucapan-ucapan perayaan seperti "Merry Christmas" di telefon, status facebook, SMS, dan sebagainya.

Tidak kurang juga ada yang 'meraikan' syiar agama Kristian dengan pakain Santa Claus. Sungguhpun mereka tidak hingin pun meraikan syiar agama Kristian, hakikatnya mereka telahpun meraikan syiar-syiar Kristian secara tak langsung.

Contohnya pemakaian pakaian Santa Claus yang dapat kita lihat yang dipakai oleh kafe terkenal seperti Starbucks Coffee. Walaupun pekerjanya muslim, mereka dimestikan untuk memakai pakaian ala-ala Santa Claus.

Apa yang harus difokuskan, pakaian Santa Claus itu bukan sekadar pakaian semata-mata, tapi ia adalah pakaian yang terkait dengan unsur-unsur aqidah Kristian. Hal ini telahpun dibahaskan oleh seorang ulama mujtahid, Allahyarham Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam kitab Nizhomul Islam, dalam bab Hadharah Islam. Untuk memahami apakah yang dibahaskan dalam bab tersebut, mari kita tinjau peta minda di bawah supaya lebih jelas, insya Allah.



Hadharah
Adalah suatu mafahim (idea yang dianut dan mempunyai fakta) tentang kehidupan. Hadharah memang terkait secara langsung dengan aqidah, sama ada aqidah Islam atau aqidah kufur.

Contoh Hadharah Islam: menunaikan solat, menerapkan hukum-hakam Islam, dan lain-lain
Contoh Hadharah kufur: cara sembahyang orang kafir, penerapan hukum-hakam sekular, dan lain-lain

Madaniyah
Ringkasnya, kita boleh sebut sebagai benda atau alat. Secara umum, madaniyah tidak terkait dengan aqidah, kerana ia adalah benda. Contohnya, kayu, kain, teknologi, dan lain-lain. Adakah perkara tersebut terkait dengan aqidah? Tidak. Namun, madaniyah boleh terbahagi kepada dua jenis, seperti yang berikut:

Madaniyah Umum
Suatu benda yang memang tidak terkait dengan aqidah. Contohnya facebook, YouTube, blog, teknologi, dan sebagainya. Hukum menggunakannya adalah halal dan tidak ditegah dalam Islam

Madaniyah Khas
Inilah suatu benda yang terkait dengan aqidah. Walaupun ianya hanya benda, tapi ia boleh terkait dengan aqidah. Contohnya, kayu (sejenis benda) diukir menjadi salib. Ia terkait dengan aqidah kufur, maka kayu tersebut menjadi haram. Contoh lagi, pakaian seksi (sejenis benda). Ia haram dipakai di tempat awam kerana ada larangan mendedahkan aurat. Contoh lagi, pakaian Santa Claus. Walaupun ia adalah sejenis benda, ia menjadi haram kerana ia terkait dengan aqidah Kristian. Segala jenis madaniyah khas yang bertunjangkan aqidah kufur adalah haram untuk diambil dan digunapakai
*****


Jadi, jelaslah di sini, dengan mendirikan syiar agama mereka, hukumnya adalah haram. Memanglah dengan hanya memakai pakaian Santa Claus tidak menyebabkan kita jatuh kafir, tetapi ia adalah suatu keharaman dan dikhuatiri menjatuhkan diri kita ke lembah syirik

"Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku" [TMQ al-Kaafiruun (109):6]


Domo - Help Select